9,411 CALON SPM 2020 MEMPEROLEH KEPUTUSAN SEMUA A

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Md Radzi Jidin
SUMBER GAMBAR: https://www.sinarharian.com.my/article/143327

PUTRAJAYA: Seramai 9,411 atau 2.46 peratus daripada 381,894 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 memperoleh keputusan semua A.

Data dikongsikan Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan, seramai 78,731 atau 20.62 peratus memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian manakala 146,447 (38.35 peratus) memperoleh keputusan lulus dan 31.81 peratus atau 121,496 calon memperoleh keputusan sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 21,395 atau 5.60 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 1.16 peratus atau 4,416 calon memperoleh keputusan semua gagal.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan peperiksaan SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan calon bandar dan luar bandar.

Beliau turut menyifatkan calon SPM 2020 adalah generasi paling mencabar, berikutan terpaksa berdepan suasana pembelajaran dan peperiksaan yang berlainan berbanding calon sebelum ini, susulan penularan wabak COVID-19.

“Pencapaian calon di bandar dan luar bandar mencatatkan peningkatan. Namun, peningkatan pencapaian calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding pencapaian calon di bandar.

“Tahun 2019 pencapaian pelajar luar bandar adalah 5.14 dan 5.06 pada SPM 2020,” katanya pada sidang media SPM 2020 secara maya, pagi ini.

Bagi pencapaian calon bandar pula, SPM 2020 mencatatkan sebanyak 4.68, iaitu peningkatan sebanyak 0.2 berbanding 4.70 pada SPM 2019.

Sementara itu, sebanyak 43 mata pelajaran termasuk lima mata pelajaran teras, menunjukkan peningkatan dalam SPM 2020.

Radzi berkata, 39 mata pelajaran lagi, termasuk dua mata pelajaran teras menunjukkan, penurunan manakala satu mata pelajaran kekal, daripada keseluruhan 83 mata pelajaran yang ditawarkan.

Katanya, mata pelajaran teras yang menunjukkan peningkatan adalah Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Sejarah dan Sains manakala Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menunjukkan penurunan.

KPM juga melaporkan sebanyak 19.36 peratus calon SPM 2020 menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan cemerlang manakala 48.89 peratus menjawab dengan baik dan 31.73 peratus lagi adalah berpotensi.

SUMBER : Rafidah Mat Ruzki & Saadiah Ismail, (2021). Berita Harian Online. Retrieved from bhnews@bh.com.my: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/826087/9411-calon-spm-2020-memperolehi-keputusan-semua

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *