
Pandemik COVID-19 menyebabkan pelajar dan tenaga pengajar di seluruh dunia menyesuaikan diri dengan norma baharu, iaitu pembelajaran terbuka dan jarak jauh serta bekerja dari rumah.
Awalnya, ramai memberikan reaksi negatif dan meluahkan masalah seperti tiada had masa bekerja, sukar menguruskan rumah tangga dan sukar menyeimbangkan antara tanggungjawab mengawasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak tugas hakiki sebagai pensyarah.
Keadaan ini menyumbang tekanan kepada pensyarah yang terpaksa menanggung kos tinggi untuk menyediakan kelengkapan seperti komputer riba, gajet, pencetak dan kebolehcapaian internet.
Mengaplikasikan teknologi seperti mengadakan kelas dalam talian bukanlah mudah, tambahan pula ketika fasa awal pandemik yang secara tiba-tiba memaksa pensyarah dan pelajar untuk ‘bersahabat baik’ dengan kaedah baharu.
Norma bekerja dari rumah mengubah cara pengajaran dan pembelajaran (PdP) daripada kelas fizikal kepada penggunaan teknologi tanpa sempadan.
Bagaimanapun selepas tiga semester berturut-turut, tugas hakiki pensyarah merangkumi pengajaran, penyelidikan dan penerbitan diteruskan melalui bekerja dari rumah, rata-ratanya sudah dapat menyesuaikan diri dan selesa dengan norma baharu ini.
Perkhidmatan aplikasi video menjadi wadah utama dalam usaha pensyarah menyampaikan ilmu berterusan walaupun awalnya perlu mengambil masa sedikit lama untuk membiasakan diri.
Pihak universiti juga berusaha memantapkan sistem dibangunkan sendiri seperti sistem kehadiran pelajar untuk memudahkan urusan PdP.
Penguasaan teknologi bukan sahaja dari segi kuliah dalam talian, bahkan tugas membuat tutorial, nota dan slaid pembentangan interaktif kepada pelajar. Kuiz dan permainan dalam talian menarik minat pelajar untuk lebih responsif.
Kerja penyelidikan dan penulisan pensyarah turut terkesan. Usaha mengutip data, menghadiri kursus penyelidikan dan membentangkan hasil penyelidikan di seminar secara bersemuka ditangguhkan.
Namun, kursus penyelidikan dalam talian lebih luas capaiannya. Lebih ramai pensyarah daripada kampus dan universiti dalam negara boleh menyertai kursus, seminar, persidangan dan pertandingan inovasi secara virtual pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa tanpa perlu berhabis duit, masa dan tenaga berbanding dahulu.
Kerjasama universiti bersama jabatan kerajaan dan swasta menjalankan program meliputi pelbagai bidang seperti keusahawanan, khidmat masyarakat, kesihatan dan keselamatan menjadi lebih mudah dan capaian peserta besar.
Contohnya, fakulti dapat menganjurkan bengkel pemasaran digital secara maya kepada usahawan terkesan, sekali gus dapat membantu mereka meningkatkan kefahaman dan kepakaran dalam memasarkan produk secara dalam talian.
Pelaksanaan kaedah PdP dalam talian memerlukan kerjasama jitu daripada pensyarah dan pelajar dalam memastikan kedua-dua pihak memperoleh manfaat optimum.
Sebagai pelajar, tanggungjawab menimba ilmu perlu dilaksanakan dengan amanah dan jujur walaupun tidak bersemuka dengan pensyarah.
Dari aspek kerja penyelidikan dan penulisan pensyarah, sokongan berterusan universiti amat penting untuk meningkatkan semangat dalam menghasilkan kerja berkualiti.
Hakikatnya, kesan pandemik COVID-19 terhadap PdP amat besar, tetapi perlu diharungi dengan kesabaran dan pengorbanan besar semua pihak. Ada sisi negatif tetapi tidak kurang juga sisi positif membawa kebaikan.
SUMBER : Dr. Asma’ & Dr. Salwa. (2021, Julai 30). BH ONLINE. Retrieved from BH RENCANA: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/07/845119/pdp-dalam-talian-tuntut-komitmen-penuh